GARIS IDEA DAKWAH DAN TARBIAH 50 TAHUN ABIM DI MALAYSIA

6 Ogos 2021, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) akan menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-50 tahun. Ini bersamaan usia ABIM melepasi separuh abad pertama berada di persada dakwah awam di Malaysia dan dunia Islam keseluruhannya. Sebagai sebuah Gerakan Islam yang bermisikan ‘dakwah’ sebagai forte kegiatan dan aktivisme dalam membangun tamadun khayra ummah, sumbangan ABIM ke atas pembangunan negara mahupun masyarakat antarabangsa tidak ternafikan, malah diperakui banyak pihak.

Sebagai sebuah Gerakan Islam yang turut menerima kesan langsung dari perkembangan semangat Islamisme di seluruh dunia, sejak dari awal ABIM menetapkan dakwah dan tarbiah sebagai teras perjuangannya. Sedari awal lagi, kepimpinan ABIM bermula dari presiden pertama hingga ke-10, amat menekankan peri pentingnya aspek idealism dan aktivisme menjadi tunjang pergerakan di kalangan aktivisnya di semua peringkat. Dalam erti lain, ABIM menyakini pendekatan tajdid (pembaharuan) yang bertujuan membangun kemajuan masyarakat Muslim berpandukan kefahaman Islam yang syumul sebagai tatacara hidup yang sempurna disamping paduan proses islah dan hikmah perlu mengakar dan mengukuh di kalangan ummat.

Atas dasar kefahaman kemajuan tidak hanya mencakup perihal pembangunan fizikal seperti bangunan mencakar langit, tetapi lebih utama bagi ABIM ialah membangun ruh dan jiwa Muslim beridealism yang bebas warisan sekularisasi. Prof Razali Nawawi, presiden pertama ABIM di dalam muktamar pertama,  menegaskan bahawa perjuangan ABIM mestilah memandu masyarakat keluar dari kerosakan, kemungkaran, korupsi, penyelewengan dan penipuan yang akhirnya merugikan ummat Islam keseluruhan. Ini adalah kerana puncak keberhasilan sebuah Gerakan Islam seperti ABIM ialah keupayaan mengadun agenda dakwah dan tarbiah di dalam setiap kegiatannya dengan memastikan pembangunan pendidikan, ekonomi, sosio-budaya dan kemasyarakatan mengikut prinsip amalan Islam seperti yang dimaksudkan oleh Al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad (saw).

Menyedari hakikat tanggungjawab memimpin ummat di rantau alam Melayu kearah kebaikan berpandukan faham Islam yang benar dengan menegakkan keadilan bukanlah sesuatu yang asing di kalangan Gerakan Islam, turut menjadi keutamaan ABIM. Rantau alam Melayu kaya dengan kepelbagaian yang tidak wujud di mana-mana benua lain di dunia ini. Kendatipun keunikan sosial yang wujud dengan warna-warni kepelbagaian dan perbezaan latar masyarakat dari aspek budaya, bahasa dan agama, ABIM tidak berpendirian untuk mengasingkan diri dari dimensi tersebut. Malah ABIM dilihat berjaya merencana agenda dakwah dan tarbiah yang bercirikan identiti sosio-budaya tempatan dengan menyuntik nafas baru yang berorientasikan faham Islam yang syumul dan wasatiy.

Atas kesedaran itu, melalui presiden ketiga, Prof Dr Sidiq Fadzil, ABIM memperkenalkan Manhaj Maliziy sebagai asas kegiatan dan penyebaran dakwah. Manhaj Maliziy merupakan pendekatan dakwah secara mandiri yang tidak dipengaruhi gerak kerja tanzim Gerakan-gerakan Islam yang lain seperti Ikhwan al-Muslimin di Mesir, Jamaat Islamiy di Pakistan dan India dan lain-lain termasuk Indonesia. Namun begitu, pendekatan ini tidak menghalang ABIM untuk membina jaringan di peringkat antarabangsa lalu mengkayakan tradisi pendekatan dakwah islamiyyah di dunia Islam umumnya. Melalui pendekatan ini juga, Prof Dr Sidiq Fadzil merumuskan bahawa ABIM berjaya menyelesaikan masalah ummat dan menangani isu dakwah setempat dengan pendekatan dakwah keMalaysiaan. Pendekatan yang menekankan agenda keilmuan dan hikmah dilihat berjaya merubah sarwa pandang kebanyakan intelektual dan bijak pandai Melayu yang lahir dari university tempatan dan luar negeri.

Sehinggakan perkara ini diperakui oleh Prof. Emiritus Osman Bakar sebagai keunikan ABIM yang tidak dipunyai oleh mana-mana Gerakan Islam. Beliau menyebut di dalam buku Agree to Differ terbitan UNESCO, “ABIM had successfully embedded its organizational structure and members within the five key elements that shaped itself; inclusivity, pioneering, intellectually oriented, taking a middle position and a hybrid of Eastern and Western ideologies and worldviews, which contextualized into local position”. Dengan pernyataan ini membuktikan usaha dakwah dan tarbiah ABIM berada di dalam kerangka prinsip wasatiyyah dan hikmah serta memenuhi matlamat maqasid shariiyyah dalam membangun negara bangsa dan memimpin tamadun khayra ummah.

Hasil dari itu terbinanya Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), koperasi belia Islam berhad, bank Islam, sekolah-sekolah yang berorientasikan silibus Pendidikan Islam, hospital Islam, menjadikan pakaian tudung sebagain identiti wanita Muslim dan pelbagai institusi-institusi bercirikan Islam yang lain. Waima diperingkat awal didapati sumbangan ABIM terarah kepada pembangunan idealism dan tatacara faham Islam dalam kehidupan, turut diperakui ramai sarjana dan penyelidik bahawa usaha dakwah ABIM yang berteraskan ilmu dan bakti telah membuahkan hasil dalam bentuk tatacara hidup seharian dan pembangunan fizikal. Dalam erti kata lain, sumbangan terbesar ABIM ialah berjaya mengisi vacuum yang tidak dipenuhi oleh kerajaan dan swasta pada waktu itu, dan seterusnya membantu kerajaan dalam menyeimbangkan sosioekonomi masyarakat Melayu Muslim di mana pada hari ini memberi manfaat yang besar kepada masyarakat. Maka dengan itu, ini membuktikan bahawa ABIM adalah Gerakan islam yang bukan anti-pembaharuan seperti kebanyakan Gerakan islam yang lain. Bahkan, Hj Ahmad Azam Abdul Rahman, presiden kelima, menegaskan bahawa ABIM ialah rakan sinergi kepada pembangunan negara atau partner in nation building.

Selaras dengan perkembangan dan kemajuan semasa, Muhamad Razak Idris, presiden ke-8, berpandangan kegiatan ABIM melalui pendekatan dakwah, iaitu menyeru kepada kebaikan, dan tarbiah iaitu medium mendidik dan melatih individu dan kelompok masyarakat adalah kaedah berkesan bagi mencapai matlamat tajdid yang ditetapkan. Matlamat tajdid yang digembeleng ABIM merentasi pelbagai dimensi khususnya membangun modal insan yang mencakup kelompok Muslim dan bukan Muslim di Malaysia untuk kehidupan damai. Sehinggakan di sebahagian acara, proses taidid yang dipelopori ABIM kadang-kadang turut terpalit kontroversi terutamanya yang terkait dengan pendirian seperti di dalam isu-isu politik, perhubungan antara agama dan juga pemposisian identiti bangsa Melayu. Walaubagaimanapun, ABIM kekal utuh menggembeling fikrah pembebasan serta meniupkan obor pembaharuan dan pembaikan selaras dengan peringatan yang diungkapkan oleh Malikk Bennabi untuk melawan arus globalisasi yang menyebabkan al-fikr al-mayyit iaitu pemikiran dan faham nilai positif yang mati dan al-fikr al-mumit iaitu pemikiran dan nilai asing yang mengganas dan meluluh-lantakkan dikalangan ummat terbanyak.

Menyedari kepentingan untuk membina jatidiri warganegara Malaysia yang berkongsi kesamaan aspirasi dan cita-cita kenegaraan disamping menghormati perbezaan, Sdra Muhamad Faisal Abdul Aziz, presiden ke-10, memimpin agenda “Kosmopolitan Islam” dalam pembinaan Bangsa Malaysia sebagai rencah dakwah dan tarbiah ABIM ke hadapan. Idea Kosmopolitan Islam yang diadun bersama dengan faham identiti Bangsa Malaysia bukanlah satu konotasi yang memadam citra bangsa Melayu dan agama yang secara hakiki telah diwarisi dan dimaklumi, sebaliknya ia memfokuskan kepada idea agama-bangsa yang memberi pemberdayaan dan bukan ke sudut yang ekstrem sehingga meruntuhkan serta membunuh kekayaan kepelbagaian.

Oleh yang demikian, atas faktor itu, ABIM menanggapi identiti Bangsa Malaysia sebagai salah satu ‘competing identities” untuk menyederhanakan identiti agama dan kaum supaya tidak terjerumus ke kancah yang melampaui batas. Dengan itu, persoalan berkenaan identiti Bangsa Malaysia, menurut Sdra Muhamad Faisal, ia bukan satu proses asimilasi yang mencairkan kebudayaan sesuatu bangsa tetapi integrasi untuk kita bersama membentuk watak-watak yang punyai ciri kebersamaan semua bangsa yang mendiami negara bertuah ini. Berpandukan prinsip wasatiyyah (moderate) dan keluhuran maqasid dalam merencana pembentukan ciri dan watak di atas nama integrasi, ABIM dengan konsisten berpendirian sebagai agen dakwah dan tarbiah yang berada digarisan tengah, aspirasi dan citra ini amat penting diketengahkan bagi mengelakkan masyarakat dari jatuh ke gaung asimilasasi mahupun terjerumus ke kancah segeregasi perpecahan yang merugikan.

Adalah dengan itu, dalam menjayakan citra identiti Bangsa Malaysia, sifat keterbukaan yang dipunyai oleh semua bangsa dan berkongsi aspirasi yang sama adalah keutamaan ABIM untuk memandu agar tidak disalah tanggapi seperti teori bangsa sebelum ini. Sedari atau tidak, Sdra Muhamad Faisal menegaskan watak keterbukaan sebenarnya adalah satu watak yang menjadi citra umat Melayu sewaktu era awal pembinaan masyarakat bertamadun dan seterusnya menjadi pemangkin kepada pembinaan peradaban, dan natijahnya kelihatan dan dirasai oleh semua pada hari ini.

Dengan itu, idea Kosmpolitan Muslim yang ingin dipandu ABIM tidak terlahir dari mimpi kosong mahupun khayalan. Tetapi ia didorong dengan kekayaan khazanah citra bangsa Melayu dan agama Islam yang telah diwarisi sejak Islam menapak di rantau alam Melayu. Prof Dr Syed Khairudin Al-Junied dalam karyanya Muslim Cosmopolitanism: Southeast Asian Islam In Comparative Perspective membahaskan ciri kosmopolitan Muslim di Asia Tenggara dengan butiran yang segar yang dipacu oleh komuniti Muslim Asia Tenggara:

Muslim cosmopolitanism in Southeast Asia is a style of thought, a habit of seeing the world and a way of living that is rooted in the central tenet of Islam, which is that everyone is part of a common humanity accountable to God and that we are morally responsible towards one another. To embrace Muslim cosmopolitanism is to exhibit a high degree of receptiveness to universal values that are embedded within one’s own customs and tradition (adat). Internalizing Muslim cosmopolitanism enables a person to be at ease with his or her own Islamic cultural identities, promoting these identities as a means to enrich public understanding about Islam and Muslims while maintaining and embracing a tolerant attitude towards people of other backgrounds.”

Dalam banyak acara, ABIM menegaskan bahawa bilamana berbicara soal keterbukaan dan kesejagatan bangsa ia adalah sesuatu pendekatan yang bersifat untuk menjayakan bukan sebaliknya yang sering disalah tanggapi seperti mengancam identiti kaum. Adalah dengan itu, ABIM turut meyakini ciri-ciri umat kosmopolitan Islam yang ditunjangi bangsa Melayu-Isam tidak mengorbankan prinsip-prinsip dan ajaran dasar agama Islam hanya semata-mata melayani ragam zaman semasa.

Bersempena dengan sambutan 50 tahun Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM): Gerakan Ilmu dan Bakti, dengan garis idea dakwah dan tarbiah serta atas kesedaran keperluan memimpin ummat, ABIM boleh dianggap sebagai Gerakan Islam yang berupaya memandu ummat rantau ini untuk mengangkat kembali citra masyarakat sederhana yang terbuka, inklusif dan sejagat yang dirangkum sebagai umat kosmopolitan yang melonjakkan pembinaan tamadun lampau dan kehadapan seperti yang digariskan di dalam Al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad (saw). Menerusi pengembalian semula citra ummat kosmopolitan Muslim ini, ABIM turut diakui berupaya untuk menambahkan lagi keyakinan dikalangan warganegara yang pelbagai untuk memasakkan nilai perpaduan bersama kaum lain yang berdiri atas paksi nilai “Bangsa Malaysia”.

Memimpinan ABIM untuk separuh abad kedua menyambung legasi khazanah dakwah, Muhamad Faisal menekankan, “[ABIM] sebagai penggerak masyarakat yang punya kesedaran harus merangka strategi untuk berusaha menjadi ‘creative individuals’ [and creative Islamic movement] yang secara serius merangka gerak kerja ke arah pembangunan masyarakat yang lebih baik. Citra Islam dalam peradaban manusia wajar ditampilkan dengan pengembalian imej kaum Muslimin sebagai umat berbudaya dan beradab, melalui kerangka peradaban yang semakin malap iaitu ‘kosmopolitan Islam.”

Allah berfirman dalam surah Al-Ahzab, ayat 23: “Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah. Dan di antara mereka ada yang gugur, dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka sedikit pun tidak mengubah (janjinya).”

Selamat menyambut ulangtahun ke-50 ABIM!

Gerakan Ilmu dan Bakti!