PENGKHIANATAN KAUM ILMUWAN : ANALOGI QUR’ANI YANG MENAKJUBKAN

Bismillahirrahmanirrahim.

Surah al-A’raf :175-177

 

Mkasudnya :

175 : Dan bacakanlah kepada mereka (wahai Muhammad) khabar berita seorang yang Kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat (Kitab) Kami. Kemudian ia menjadikan dirinya terkeluar dari mematuhinya, lalu ia diikuti oleh syaitan (dengan godaannya), maka menjadilah dari orang-orang yang sesat.

176 : dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-yata itu. Tetapi ia bermati-matian cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya, ia mneghulurkan lidahnya termengah-mengah, dan jika engkau membiarkannya; ia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan ornag-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir.

177 : Amatlah buruknya bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, dan mereka pula berlaku zalim kepada diri mereka sendiri.

Huraian :

Ilmu adalah kurnia istimewa yang dapat (dengan izin Allah) mengangkat martabat penerimanya mencapai puncak ketinggian ‘illiyin. Ilmuwan yang komited dan beriman, yang menerima pencerahan ayat-ayat Allah lalu dihayainya sebagai worldview (pandangan alam), cara hidup, cara berfikir, cara bersikap dan cara berperilaku adalah manusia unggul yang berjaya mendaki mercu kesempurnaan keinsanan. Demikianlah martabat ilmuwan tawhidik yang dideretkan selepas Allah dan para malaikat dalam ayat kesaksian Tauhid (Hari Alastu) (Ali-Imran : 18).

Pencerahan ayat-ayat Allah adalah kurnia agung yang tidak ternilai, begitu juga martabat ketinggian bawaan ilmu sedemikian, tetapi rupa-rupanya ada manusia “ilmuwan” yang bertindak tolol, membuang nikmat dan kurnia pencerahan dan ketinggian rohaniah kerana tergiur dengan gemerlapan palsu materi duniawi. Gejala malang dan tragik inilah yang terpapar dalam ayat-ayat surah al-A’raf (175-177). Gejala tersebut bukan sekadar mimpi buruk, tetapi naba’ Qur’aniy, berita benar yang diungkapkan kembali oleh al-Quran sebagai iktibar sepanjang zaman, betapa buruk dan jijiknya pengkhianatan amanah keilmuwan, the betrayal of the intellectuals.

Pengkhianatan keilmuwan bererti keruntuhan iman, dan kemenangan nafsu. Keadaan seperti itulah yang sangat diinginkan oleh syaitan. Dapat dibayangkan betapa gegak-gempitanya sorakan syaitan mempestakan (kenduri) kejatuhan seorang ilmuwan. Masyarakat syaitan menyambut meriah penyertaan ahli baru kelab ilmuwan pengkhianat (dengan slogan “welcome to the club”). Warga syaitan, menjulangnya dan memuji-muji keputusan “bijak”nya (keputusan aneh) melemparkan iman dan kebenaran ilmu untuk memilih kemewahan duniawi. Ilmuwan yang telah meninggalkan petunjuk iman dan ayay-ayat Allah menjadi sasaran syaitan untuk disesatkan lebih jauh dan diperkuda untuk menyesatkan orang lain dalam belantara kepalsuan (pembohongan).

Are YOU??????

Allah Yang Maha Rahman selalu merahmati para ilmuwan beriman dengan mengangkat darjat kerohaniannya setinggi yang tercapai oleh tahap ilmu dan imannya. Tetapi kali ini Allah tidak berkenan mengangkat martabat seorang ilmuwan kerana ia lebih tertarik dengan bumi (dan segala isinya) yang serba rendah lagi murah. Ilmuwan materialistik dan opportunist seperti itu tidak lagi tertarik dengan martabat mulia alam tingg, sebaliknya lebih bernafsu terhadap kerendahan materi bumi – tanah, lumpur, bangkai, sampah dan pelbagai lagi kotoran yang busuk dan menjijikkan. Sikap ilmuwan yang resign daripada prinsip kebenaran ilmu diungkapkan dengan kata fa’nsalakha minha (..kemudian dia melepaskan diri dari ayat-ayat itu…). Kata tersebut menggambarkan kejadian aneh, seseorang sedang bersusah payah melepaskan dirinya daripada pakaian (Al-Quran dan ilmu) yang telah sebati membalut tubuhnya sekian lama, pakaian yang selama ini berfungsi menutup auratnya, menghangatkan tubuhnya, melindunginya dan menghiasinya. Keadaannya seperti ular yang melepaskan dirinya daripa kulitnya lalu meninggalkannya. Memang tindakan melepaskan diri daripada iman (terhadap Allah dan ayat-ayatNya) pada hakikatnya suatu yang sukar dilakukan kerana sesungguhnya iman adalah bahagian daripada fitrah insani. Demikian pulalah sukarnya melepaskan diri daripada ilmu yang telah dipelajari dan telah menjadi bahagian daripada kehidupan hariannya sejak puluhan tahun.

Yang sangat menakjubkan dan mencengangkan adalah tamsil analogi Qur’ani tentang ilmuwan pengkhianat tersebut. Membaca ayat 176 seolah-olah kita sedang menyaksikan tayangan video (National Geographic) : seorang ilmuwan tiba-tiba berubah rupa menjadi seekor anjing yang sentiasa terjelir lidahnya. Hodoh dan menjijikkan!!! Demikianlah kesan semerta setiap orang yang menyaksikannya. Anjing terjelir lidah tanpa henti, diapakan pun ia tetap menjelirkan lidahnya kerana memang itu  sifat sejatinya anjing. Paparana pemandangan anjing menjelir lidah dan menjulurkan lidahnya terus-terusan menampakkan bayangan kepenatan dan kesusahan yang berpanjangan. Biasanya anjing tidak hanya sentiasa menjulurkan lidah, tetapi juga mengeluarkan air liur, menitis-nitis sepanjang jalan, seolah-olah sedang sangat mengiinginkan sesuatu,sedang mengidamkan makanan lazat yang tidak kesampaian, terliur kerana tergiur dengan sesuatu menyelerakan. Demikianlah citra ilmuwan curang di mata orang beriman yang bernurani Qur’ani.

Mencegah anjing daripada menjulurkan lidah memang tidak mudah, kerana memang begitulah yang namanya anjing. Ayat 176 yang menyebut “…jika kamu manghalaunya dijulurkan lidahnya dan jika kamu membiarkannya ia menjulurkan lidahnya juga..“. Diertikan oleh sebahagian ahli tafsir sebagai kedegilan ilmuwan tunggangan syaitan itu. Dinasihati atau dibiarkan sama sahaja, tidak ada kesannya. Yang dituruti hanyasatu; hawa nafsu. Yang didengar juga hanya satu; saranan syaitan. Bagaimanapun ini tidak menggugurkan tanggungjawab pendakwahan. Kerana itu al-Quran masih berpesan “Maka ceritakanlah kisah-kisah itu agar mereka berfikir”. Siapa tahu pada satu saat mereka kembali waras dan rasional (sedar dan menyesal), lalu terkesan dengan kisah al-Quran dan analoginya yang sedemikian tajam. Mungkin akan berlaku sesuatu dalam hidup mereka yang menyedarkan mereka bahawa selama ini mereka telah menzalimi diri sendiri.

Be URSELF and choose the right PATH (TRUTH)

Demikianlah sebuah tamsil perbandingan yang amat hodoh dan menjijikkan. Tetapi memang itulah hakikat setepatnya. Ia bukan analogi yang mengada-ngadam kerana al-Quran adalah kitab suci yang serba hakim, selamanya bijaksana, padat dengan wisdom kewahyuan yang meletakkan segala sesuatu tepat pada tempatnya. Tentu ada sebabnya mengapa al-Quran mengangkat tamsil perbandingan sehodoh dan sejijik itu. Yang jelas seperti yang disebut oleh Imam al-Raziy bahawa ayat-ayat tersebut termasuk yang paling keras ditujukan kepada kaum ilmuwan. Justeru tidak ada barakah bagi ilmu tanpa amal. Seperti yang diriwayatkan oleh al-Daylamiy; al-Rasul SAW bersabda :

من ازدا علما ولم يذدد زهدا لم يزدد من الله إلا بعدا

“Sesiapa yang bertambah ilmunya, tetapi tidak bertambah zuhudnya,

tidak akan mendapat tambahan apa-apa dari Allah selain bertambah jauh”

 

Sumber : Kelas Tafsir Maudhu’iydisampaikan oleh Prof. Dr. Siddiq Fadzil (8 April 2011)

Advertisements

Jejak Tokoh : Sultan Muhammad Al-Fateh

Bismillahirrahmanirrahim.

HADIS RASULLAH SAW TENTANG PEMBEBASAN CONSTANTINOPLE Sabda Rasulullah s.a.w. ketika menggali Parit Khandaq;

“..Constantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera……” (Hadis riwayat Imam Ahmad)

__________________________________________

"Muharrar al-Constantinople"

Umat Islam berlumba-lumba membebaskan Constantinople untuk mendapatkan penghormatan yang dijanjikan oleh Allah swt di dalam Hadis tersebut. Walau bagaimanapun, kesemua kempen yang dilancarkan menemui kegagalan. Di antaranya, 5 kempen di zaman Kerajaan Umayyah, 1 kempen di zaman Kerajaan Abbasiyah dan 2 kempen di zaman Kerajaan Usmaniyah. Di dalam salah sebuah kempen semasa zaman Kerajaan Umayyah, seorang sahabat besar Nabi saw iaitu Abu Ayyub Al Ansary ra telah syahid dan dimakamkan di bawah dinding kubu Kota Constantinople di atas wasiatnya sendiri. Apabila ditanya kenapa beliau ingin dimakamkan di situ maka beliau menjawab, “Kerana aku ingin mendengar derapan tapak kaki kuda sebaik-baik raja yang akan mengetuai sebaik-baik tentera semasa mereka membebaskan Constantinople”. Begitulah teguhnya iman seorang sahabat besar Nabi saw. Hadis Nabi saw ini direalisasikan hampir 800 tahun kemudiannya oleh Sultan Muhammad Al Fatih, khalifah ke-7 Kerajaan Usmaniyyah dan 150,000 orang tenteranya. Siapakah Sultan Muhammad Al Fatih? Apakah kehebatan Baginda dan tentera-tenteranya sehingga disebut “sebaik-baik raja” dan “sebaik-baik tentera” di dalam hadis tersebut. PENGENALAN Baginda dilahirkan pada 29 Mac 1432 Masihi di Adrianapolis (sempadan Turki – Bulgaria). Walau bagaimanapun, sejarah hidup Baginda sebenarnya telah bermula hampir 800 tahun sebelum kelahirannya kerana telah disebut sebagai “sebaik-baik raja” di dalam Hadis tadi. Baginda juga dikenali dengan gelaran Muhammad Al Fatih kerana kejayaannya membebaskan Constantinople. Baginda menaiki takhta ketika berusia 19 tahun dan memerintah selama 30 tahun (1451 – 1481). Baginda merupakan seorang negarawan ulung dan panglima tentera agung yang memimpin sendiri 25 kempen peperangan. Baginda mangkat pada 3 Mei 1481 kerana sakit gout. Ada ahli sejarah berpendapat Baginda mangkat diracun. PENDIDIKAN Baginda menerima pendidikan yang menyeluruh dan bersepadu. Di dalam bidang keagamaan, gurunya adalah Syeikh Shamsuddin Al Wali dikatakan dari keturunan Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq ra. Di dalam ilmu peperangan pula, Baginda diajar tentang tektik peperangan, memanah dan menunggang kuda oleh panglima-panglima tentera.

Di dalam bidang akademik pula, Baginda adalah seorang cendekiawan ulung di zamannya yang fasih bertutur dalam 7 bahasa iaitu Bahasa Arab, Latin, Greek,  Serbia, Turki, Parsi dan Hebrew. Di dalam bidang Ilmu Pemerintahan pula, ayahanda Baginda , Sultan Murad II, dengan tujuan mendidik, semasa pergi bersuluk ke Pulau Magnesia, telah melantik Baginda yang baru berusia 12 tahun memangku jawatan Khalifah. Dalam usia semuda ini Baginda telah  matang menangani tipu helah musuh.

KEPERIBADIAN

Baginda sentiasa bersifat tawadhu’ dan rendah diri . Semasa membina Benteng Rumeli Hissari, Baginda membuka baju dan serbannya, mengangkat batu dan pasir hingga ulamak-ulamak dan menteri-menteri terpaksa ikut sama bekerja

Baginda seorang yang sentiasa tenang, pendiam, berani, sabar, tegas dan kuat menyimpan rahsia pemerintahan. Baginda sangat cintakan ulamak dan selalu berbincang dengan mereka tentang permasalahan negara.

SEBAIK-BAIK RAJA DAN SEBAIK-BAIK TENTERA

Pada kali pertama solat Jumaat hendak didirikan, timbul pertanyaan siapa yang layak menjadi imam. Baginda memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya bangun lantas bertanya, “Siapa di antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardhu walau sekali sila duduk!”. Tiada seorang pun yang duduk, kerana  tidak seorang pun di antara mereka pernah meninggalkan solat fardhu.

Baginda bertanya lagi, “Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib sila duduk!”. Sebahagian daripada tenteranya duduk.

Kemudian Baginda bertanya lagi, “Siapa di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk!”. Kali ini semuanya duduk, kecuali  Sultan Muhammad Al-Fatih sendiri. Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, Solat Sunat Rawatib dan Solat Tahajjud sejak baligh . Inilah dia anak didikan Syeikh Shamsuddin Al Wali. Bagindalah sebaik-baik raja yang telah diisyaratkan oleh Rasulullah saw di dalam Hadisnya itu.

* Di mana kita (remaja Muslim) hari ini?? Solatnya, Tahajudnya, Puasa sunatnya..?

Jawablah……..

"Tidak hanya bersemayam selesa..."

(credit : http://satuperkongsian.wordpress.com)

MUQADDIMAH ZINA..!!

BISMILLAH….

“Susah, ustaz. Macam mana nak solat dalam kapal terbang kalau pakaian kotor” kata seorang anak muda.

“Nak berangkat ke UK pun pakai baju kotor? Tak sempat basuh ke?” tanya si ustaz.

“Bukan macam itu. Pakaian yang dipakai sudah tentu bersih. Tetapi semasa ke tandas di KLIA, di situlah pakaian jadi kotor” jelas beliau.

“Mengapa? Ustaz ke tandas tiada masalah pun” si ustaz ‘pura-pura tidak tahu’.

“Ustaz lainlah” ujar anak muda itu lagi.

“Apa pula lainnya. Awak lelaki, ustaz lelaki. Masuk pun ke tandas yang sama. Cuma, awak kencing berdiri ya?” si ustaz bertanya terus ke topik sebenar.

Anak muda itu ketawa kecil. Apa yang beliau tidak mahu menyebut, telah disebut oleh sang ustaz.

Memang sukar.

Jika bersolat di dalam pesawat terganggu oleh kesukaran menentukan arah kiblat, ada penyelesaiannya. Andaikata bermasalah untuk berdiri, ada penyelesaiannya. Jika sulit mahu mengambil wudhu’, ada kaedah-kaedahnya. Tetapi jika pakaian tidak bersih, memang susah mahu diselesaikan. Bayangkan, dalam kesesakan ratusan penumpang kapal terbang, si anak muda mahu menyalin seluar dengan memakai kain pelekat, mahu sahaja disikunya orang di kiri dan kanan.

Justeru, jika kita jenis orang yang bersolat kerana Islam, maka Islamlah semenjak di rumah dan di Lapangan Terbang. Jangan tiba-tiba mahu mengambil Islam, memang banyak ‘kerosakan’ yang terpaksa diuruskan!

Sama juga dengan perempuan. Andaikata solat itu hendak dikerjakan semasa berada di dalam pesawat, selain pakaian perlu bersih, pastikan juga ia sempurna menutup aurat. Andai pakaian yang dipakai itu tidak cukup syarat untuk membolehkan kita bersolat dengannya, memang sukar kalau tiba-tiba di dalam pesawat, mahu disarung telekung. Mahu terserkup orang di sebelah!

Demikianlah Islam.

PAKEJ

Di pangkal, di tengah atau di hujung, Islam ada caranya yang tersendiri untuk berfungsi. Tetapi sebagai sebuah sistem, Islam mesti diambil seawal langkah yang pertama.

“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) SEGALA hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan. Sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata” [al-Baqarah 2: 208]

Demikian Allah berpesan.

Apabila Islam diambil, ambillah ia secara sempurna. Pakej yang lengkap. Menerima sebahagian dan meninggalkan sebahagian yang lain, adalah cara Syaitan menyesatkan manusia, sedangkan Syaitan itu adalah musuh manusia yang amat nyata. Kelihatannya di sepanjang sejarah manusia, Syaitan itu makhluk yang sabarnya sering mengatasi manusia. Syaitan tidak tergesa-gesa untuk mencapai misinya. Segalanya berlaku secara berperingkat, sedikit demi sedikit, dalam kealpaan manusia yang tidak menyedarinya.

Itulah enjin di sebalik musibah buang bayi di negara kita.

Buang bayi kerana berleluasanya zina.

Berleluasanya zina kerana pencegahannya tidak mengambil acuan Islam.

“Dan janganlah kamu mendekati zina. Sesungguhnya ia adalah suatu kecelaan dan seburuk-buruk jalan pilihan manusia” [al-Israa’ 17: 32]

Allah tahu, zina itu sedap dan nikmat. Menolaknya jika sekadar menolaknya, terlalu sukar. Justeru sama seperti maksiat-maksiat yang lain, Allah bantu kita untuk mengelaknya dengan menutup pintu-pintu kepada zina. Sesungguhnya menolak zina hanya menjadi realiti apabila MUQADDIMAH ZINA dilihat sebagai muqaddimah zina yang mesti dihindari.

Apakah muqaddimah zina yang mesti dicegah itu?

1. MENUNDUKKAN PANDANGAN

Tingkap itu yang mesti dipelihara. Jendela penglihatan yang turun ke hati dan kemaluan. Menundukkan pandangan itu bermaksud memelihara penglihatan daripada melihat perkara haram. Perkara yang merangsang libido dan mengundang diri kepada zina. Firman Allah Subhanahu wa Ta’aala:

“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa yang mereka kerjakan.” [al-Nur 24: 30]

Wanita-wanita yang beriman itu juga diberikan saranan yang sama. Di dalam ayat yang menyusul perintah di atas, Allah memerintahkan kaum wanita seperti kaum lelaki, sama-sama memelihara pandangan daripada melihat apa yang tidak diharuskan baginya melihat.

“Alahai, takkanlah baru tengok sudah mahu berzina!” seorang manusia mahu berbijak-bijak berhujah dengan Tuhan.

Dia lupa, fitnah penglihatan dan zina bukan urusan rasional. Ia urusan nafsu dan kemaluan. Urusan hati yang membuat pertimbangan. Justeru itu Allah berpesan, “yang demikian itu lebih suci bagi mereka”. Muqaddimah zina ini bukan hanya urusan di peringkat individu. Ia bertujuan membentuk suasana yang sihat. Saling bekerjasama untuk mewujudkan suasana yang tidak mengundang zina.

2. MEMELIHARA AURAT

Menundukkan pandangan daripada perkara haram menjadi lebih mudah apabila perkara haram itu tercegah dalam daerah halalnya. Anggota tubuh yang perlu diberi perlindungan, adalah cara seseorang memuliakan dirinya sendiri dan menghormati orang lain yang bermata lagi berhati, juga bernafsu.

Peliharalah aurat.

Wanita.

Lelaki.

Sama sahaja.

“Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka…” [al-Nur 24: 31]

Perintahnya bukan perintah menutup rambut.

Perintahnya adalah perintah memelihara aurat.

3. TIDAK BERTABARRUJ JAHILIAH

Menutup aurat itu cara Allah mengajar kita membentuk diri. Biar dengan menutup aurat itu kita belajar menganut sifat malu, belajar mengenal batas-batas diri yang mewujudkan rasa berTuhan dalam kehidupan dengan batasan-batasan itu.

“Dan hendaklah kamu melazimkan diri berada di rumah kamu serta janganlah kamu mendedah, menghias dan menonjolkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu” [Al-Ahzaab 33: 33]

“Saya sudah menutup aurat!” kata seorang perempuan yang bertudung.

Beliau terlepas pandang, tudungnya memang bertudung tetapi solekan di bibir dan kelopak matanya sangat keterlaluan, di dalam tudungnya ada bonggol sanggul yang sengaja ditolak ke atas meninggikan kepala, kakinya memakai rantai berloceng, hingga setiap inci tubuhnya menarik perhatian untuk dilihat dan direnung, biar pun beliau itu bertudung.

Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu beliau meriwayatkan bahawa Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam telah bersabda :

Dua golongan yang termasuk dari kalangan ahli neraka yang tak pernah aku lihat iaitu yang pertama mereka yang memegang cemeti seperti ekor lembu (bentuk cemeti itu seperti ekor lembu yang berbulu-bulu dan berambut-rambut) dan mereka memukul manusia dengan cemeti tersebut. Yang kedua adalah perempuan memakai pakaian tetapi keadaanya umpama telanjang (ketat), dan perempuan ini berjalan sambil berlenggang lenggok dan sanggol rambutnya (ataupun sekarang ikatan rambutnya) umpama bonggol unta.Dan perempuan yang sebegini keadaanya tidak akan mencium bau syurga. Ketahuilah bau syurga sudah boleh diciumi dari jarak begini dan begini. [Hadith riwayat Muslim no. 2128]

Bertudung. Tetapi masih mahu menarik perhatian orang memandang dan membelek.

Justeru hilanglah hikmah memelihara aurat.

Biar pun rambut ditutup, dia masih kaya dengan elemen Jazb al-Intibah (menarik perhatian dan pandangan orang).

4. BERURUSAN DENGAN BATASAN

Bekerja, belajar, bermesyuarat, berjiran dan bermasyarakat, semuanya harus.

Namun keharusan itu harus dipandu oleh batasan.

Silang jantina perlu mengenal keperluan dan tujuan, jangan hanya berpandukan kemahuan.

“Dan apabila kamu meminta sesuatu yang harus diminta daripada mereka maka mintalah kepada mereka dengan perantaraan hijab. Cara yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka” [al-Ahzaab 33: 53]

Sama ada hijab itu berupa tabir yang fizikal, atau sekurang-kurangnya mengekalkan batas pergaulan antara lelaki dan perempuan.

Bermesyuaratlah, tetapi biar seadanya.

“Hai, takkanlah sembang-sembang sudah terangsang?” hujah seorang bijak pandai di syarikat Multinasional.

“Cara yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka” jawab Allah.

Dia yang memiliki hati. Dia tahu sifat baik dan buruk hatimu. Justeru nasihat-Nya tentang hati itulah nasihat terbaik untuk manusia yang mahu berhati-hati.

Lihatlah di pejabat, siapa di meja sebelah, siapa di kubikel depan, keluar makan tengah hari dengan siapa, dari Stesyen LRT ke pejabat tumpang kereta siapa, pergi ke site atau bertemu pelanggan naik kereta siapa, semua itulah yang perlu dipertimbangkan kembali, kerana melakukannya tanpa batasan adalah MUQADDIMAH ZINA.

5.  TIDAK MELUNAKKAN SUARA

Dengar suara, mahu orangnya.

Itu akibat manusia-manusia yang hatinya berpenyakit.

Sakitnya pula letak di hati yang tidak kelihatan. Justeru jangan cari penyakit. Jangan lunakkan suara semasa berbicara. Bersahaja, sederhana, seperti biasa, jangan dimanja-manja, jangan mengada-ngada.

“Andaikata kamu benar-benar beriman, maka janganlah kamu lunak-lunakkan suara semasa berbicara. Nantinya orang-orang yang hatinya berpenyakit menjadi tamak. Justeru berbicaralah dengan perbicaraan yang maaruf” [al-Ahzaab 33: 32]

NORMALISASI MUQADDIMAH ZINA

Mencegah lebih baik daripada mengubat… bukan slogan tanpa asas!

Cabarannya, bagaimanakah penerimaan kita terhadap saranan-saranan Allah ini?

Percaya bahawa kita lebih bijak daripada-Nya?

Semua perintah dan larangan yang dihimpunkan itu tadi (sebagai memetik sebahagiannya) telah mengalami normalisasi. Semuanya sudah diterima sebagai satu cara hidup semasa.

Make sure you balik before Midnite, ok. This is my house. You follow my rule!” kata si ayah yang ‘cool’.

Anak lelakinya keluar menonton wayang dengan rakan silang jantina.

Muqaddimah zina sudah jadi biasa. Sudah tidak lagi dianggap salah. Ia diterima sebagai satu cara hidup kontemporari, tidak hanya di kota malah di desa. Sudah jadi biasa. Lantas buruk benar kalau ia tiba-tiba digelar sebagai Muqaddimah Zina!

Itulah NORMALISASI…

Alaa, she’s still young. Let her taste the excitement. Just be herself. Jangan hipokrit. Nanti bila nak pakai tudung tu, dia pakailah. Kita doakan!” kata si emak melihat anak perempuannya keluar rumah dengan penuh gaya.

Memaksa diri bertudung kerana di dunia ini ada Tuhan, namanya hipokrit?

Akhirnya, menutup pintu Muqaddimah Zina dianggap kolot.

Walhal itulah hidup bertamadun. Hidup yang tahu membataskan diri.

Bergaul sesuka hati, menyentuh sesedap rasa, menunggang tak kenal agama, itu Lifestyle rimba.

“Nampakkah kamu keburukan keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhan yang dipuja lagi ditaati? Maka dapatkah engkau menjadi pengawas yang menjaganya jangan sesat? Atau adakah engkau menyangka bahawa kebanyakan mereka mendengar atau memahami (apa yang engkau sampaikan kepada mereka)? Mereka hanyalah seperti binatang ternak, bahkan (bawaan) mereka lebih sesat lagi.” [al-Furqan 25: 43-44]

Saksikanlah ya Allah bahawa aku berusaha menyampaikan!

Source : saifulislam.com

Berbagai rasa………Dilema…

Bismillah.

Syukur! Tamat sudah 1 semester (4 bulan) saya berpraktikal di Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Tepat jam 5:00 petang, 7 Mei 2010 saya melangkah keluar dari pejabat ABIM sebagai tanda tamat tempoh perkhidmatan . Ia juga sebagai tanda tamat sudah tempoh 4 tahun saya berserah diri menadah ilmu di alam universiti. Sekejap 4 tahun ni rasanya…semacam tidak puas merasa…

Termenung seketika sebaik selesai solat asar petang tadi. Berbagai persoalan menerjah kotak fikiran.

Nak buat apa lepas ni? Bersedia ke nak bersaing di alam kerja? Ke nak sambung pengajian je? Atau pun menampung anak orang makan? Emm….dilema………………….

Julai 2006. Segar bugar diingatan bagaimana saya menjejak kaki di KUIM sebagai pelajar “special” – panggilan kedua. Berat hati untuk melepaskan cita-cita yang sudah sebelah kaki hendak ke luar negara. Namun perancanganNya Maha Hebat banding dengan saya yang tertakluk di bawah aturanNya. Sekarang 2010, 4 tahun sudah berlalu di USIM. Bagai seperti baru minggu lepas jejak kaki di kampus. Tetapi hakikat saya melangkah keluar dari dunia kampus bermula hari ini.

Berlabuhnya hari terakhir hari ini, bukanlah sebagai hari terakhir. Sebaliknya ia merupakan dunia baru. Dunia baru yang masih luas untuk diteroka. Dunia baru yang penuh pelbagai misteri. Dunia baru yang pasti menjanjikan seribu satu pengalaman hebat. Dunia baru untuk merancang masa hadapan. Saya yakin dunia baru ini penentu kepada siapa saya yang sebenar pada hari ini.

“Dunia baru” – kata memujuk terhadap diri sendiri supaya dapat bertindak rasional dan memotivasikan diri dalam memberi maksud tersendiri dalam mengenang kenangan lalu.

Emm..semoga kekuatan yang terbina terus kekal bersama. Yelah..selepas ini saya yakin rakan-rakan semua akan menuju haluan seperti dirancang. Rasa suka, duka, gembira, sedih, kecewa, merajuk, tangis, gelak dan tawa dalam kelas, program dan lepak bersembang hanya pemanis kenangan lalu. Mungkin selepas ini akan dapat rasa juga, cuma ia dalam suasana yang berbeza dan pasti ia menjadi kenangan baru untuk kita semua.

Indah pertemuan singkat ini.

Dalam duduk termenung, saya memikir apa langkah seterusnya. Langkah pertama yang diambil akan bertindak sebagai langkah kedua dan seterusnya. Dalam fikiran ada beberapa perancangan yang difikir dan dipertimbangkan. Cuma terkeliru mana satu yang “aula” yer untuk saya pilih. Dan lebih utama, pilihan saya itu diharapkan tepat dalam perancanganNya dan dirahmati. Antara memberi khidmat kepada syarikat baru abah, atau sambung pengajian Ma. Berkaitan sambung pengajian ini, memilih pula buat di dalam atau di luar. Tetapi timbul pula  satu tawaran untuk terus ke Ph.D. Eh…bina masjid bila pula. Dan bagaimana dengan Syria. Taman ilmu idaman hati.

Mana satu yang harus saya pilih?

Berbagai rasa……..Dilema……….

Dalam konteks berbagai pilihan ini, pertama saya perlu ingat untuk luruskan niat dahulu. Perlu bagi saya meletakkan “priority” segala tindakan adalah ikhlas dan lillahi taala. Allahu Robbi….

Nafus, kehendak, keinginan saya, keluarga ataupun sekeliling perlu diketepikan dahulu. Yang utama hati dengan Allah. Dalam membuat keputusan memilih, wajar bagi saya untuk mendapatkan keputusan yang menenangkan hati. Menjadi keutamaan keputusan kelak tetap di atas landasan dan rahmatNya. Jika tidak, mungkin sia-sia dan ada penyesalan di kemudian hari..

Mohon dijauhkan dari segala musibah dan penyesalan dalam diri…………ameen.

Jujurnya, keinginan dan kecintaan untuk memperkemaskan bacaan Arab dan melancarkan semula hafalan AQ memang ada. Dan hanya di Syria rasanya sebaik tempat untuk mencapainya. Biarlah tempoh menghamba diri di bumi Syam itu hanya seketika, tetapi “input” yang dapat kekal ke liang lahad.

Moga diberi peluang dan ruang untuk ke sana…….ameen.

Terus ke Ph.D – peluang yang tidak disangka. Tidak pernah terfikir mendapat peluang sebegini. Terima kasih kepada univerisiti tersebut yang mengiktiraf kemampuan saya, lagi-lagi graduan dari  USIM. Semacam tidak percaya hingga saat ini. Namun jika memilih jalan ini, pelbagai rencah dan risiko sudah menunggu. Terus ke Ph.D bukan sesuatu yang mudah. Memerlukan ketekunan, keseriusan dan kesediaan yang melampau untuk mencapai “najah”. Lebih utama sekira berjaya, untuk memikul title “Dr.” di pangkal nama di usia muda begini merupakan satu cabaran yang maha hebat.Allahu Robbi…..

Mohon diberi kekuatan dan kemudahan sekiranya titian ini yang dipilih……ameen.

Tak nak cari rezki ker? Bila nak kahwin? Persoalan yang selalu diungkit oleh kerabat terdekat. Lelah dan risau melihat sang teruna terus-terusan yang lemas dalam lautan ilmu. Yelah…harapan kerabat yang berusia ingin melihat saya menamatkan zaman bujang. Ingin bergembira bersama siapa bakal pendayung bahtera saya. Tetapi, kahwin bukan penyelesai masalah. Walaupun dalam sesetengah keadaan ia membantu, tetapi ia bukan perkara yang perlu disegerakan jika tiada keperluan. Saya cuba letakkan diri dalam keadaan yang rasional, matang dan benar-benar bersedia. Iye..saya hendak kahwin. Tetapi ia menuntut kepada persediaan yang serba lengkap dari setiap sudut. Bukan semberono je…….bak orang jawa kata.

Kepada rakan-rakan yang memilih untuk berkahwin..semoga berbahagia dan hidup aman dalam Iman dan Islam berkeluarga. Tahniah !

Hati saya berhak kepada ketenangan. Dengan hati yang tenang sahaja, pemilihan yang dibuat akan sempurna dilaksanakan. Biarlah saya “lambat” dalam sesuatu perkara, tetapi ia sempurna dilaksanakan di hujung bicara. Ini yang dituntut dan diajar oleh Islam. Indah bukan.

Cukuplah sekadar ini saya berkongsi segala rasa. Memang menjadi amalan, berkongsi juga kaedah berasa tenang dan lapang. Moga berakhirnya zaman pengajian di USIM ini menjadikan kita “somebody”.

– Tiada hari bagi kita kalau kita tidak bergerak hari ini –

Istiqamah vs Tangguh

Bismillah……

26 April 2010 | Isnin

Tempoh melatih industrikan diri aku telah hampir ke garisan penamat. Tanpa sedar genap 4 bulan aku bersama keluarga ABIM Pusat di bangunan FEDEC. Hanya tinggal 9 hari bekerja untuk aku graduasi dari latihan industri ini.

Syukur | Tahniah | Terima kasih

Istiqamah vs Tangguh

Umat Nabi Muhammad s.a.w dituntut beristiqamah dalam setiap nawaitu pekerjaan seharian. Bermula seawal pagi bangun dari kiamat kecil hingga kepada merapatkan mata di malam hari.

Namun, sebagai insani yang tidak lepas dari gangguan hasutan nafsu dan suara halus, usaha untuk mengistiqamahkan sifat istiqamah sering diganggu gugat. Setiap saat dan detik gangguan ini hadir.Hanya hati yang bersih, ikhlas dan dekat dengan Sang Pencipta berjaya mengharungi detik-detik payah ini.

Teringat azam di awal menjejakkan langkah kanan di FEDEC, tekad untuk meng’up date’kan entri ini setiap 2 minggu sekali. Entri akan diisi padat dengan segala informasi berkaitan latihan industri di sini.

Tetapi, azam tinggal angan………..

Di akhir 9 hari yang berbaki ini, aku meletak tekad untuk lebih selalu menambah entri karpet ini dengan pelbagai informasi terkini. Lapangan informasi yang akan disentuh menjurus arah Islam, umat Islam Malaysia dan masyarakat majmuk, mahasiswa dan usaha dakwah dan mungkin juga isu-isu mini yang lain.

Natijah L.I

Syukur pada Ilahi, kesempatan menumpang diri di ABIM ini tercapai beberapa hasrat hati.

1. Perlaksanaan program Kolokium Rakan Sebaya & Sosial 2010 (KRSS2010)

2. Penulisan Risalah Maulid Rasul 1431H

3. Perkenalan dengan otai-otai ABIM terdahulu dan agensi

Misi dan Visi Selamanya

Harapan dan Tekad

Selepas ini, janji diri dan tekad hati akan mengistiqamahkan diri dalam perjuangan haraki Islam untuk sisa baki umur yang diberi pinjam di dunia ini.

Moga-moga Allah akan terima segala usaha dan menetapkan hati di atas jalan diredhaiNya….Ameen.

ALLAH Lebih Menyayanginya…Al-Fatihah.

Bismillahirrahmanirrahim

Syeikh Al-Azhar, Syeikh Mohamed Sayed Tantawi meninggal dunia semasa melakukan lawatan ke Arab Saudi hari ini.

Syeikh Tantawi, 82, meninggal dunia di Riyadh – ibu negara Arab Saudi – selepas mengalami serangan sakit jantung, Lapor agensi berita Al-Jazeera.

Syeikh Tantawi banyak memberi sumbangan kepada dunia intelektual Islam dengan menghasilkan buku-buku agama, termasuk 15 jilid kitab tafsir al-Quran.

Syeikh Tantawi dilahirkan pada tahun 1928. Beliau dilantik menjadi Sheikh Al-Azhar sejak 1996 di Universiti Al-Azhar – pusat pengajian sunah yang tersohor di dunia Islam.

Kematian ulama yang disegani itu sudah pasti meninggalkan kesan yang cukup mendalam kepada masyarakat Islam dan antarabangsa.

Sementara itu, agensi berita AFP melaporkan, anaknya, Amr Tantawi, berkata kematian bapanya merupakan satu kejutan yang tidak dapat digambarkan.

“Ahli keluarga allahyarham sudah membuat keputusan, Allah sudah memilihnya meninggal dunia di tanah Saudi, maka beliau akan dikebumikan di tanah perkuburan Al-Baqie, di Madinah, tanah suci kedua umat Islam,” katanya.

*Secara peribadi, penulis begitu terasa dengan pemergian beliau. Teringat ketika beliau membuat lawatan ke Maahad Tahfiz Klang dahulu.  Tidak banyak karangan beliau yang penulis hadamkan..tetapi penulis akan terus jejaki hasil fikiran beliau melalui mata pena.

Firman Allah : (Surah Luqman : 34)

Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan Yang tepat tentang hari kiamat. dan Dia lah jua Yang menurunkan hujan, dan Yang mengetahui Dengan sebenar-benarnya tentang apa Yang ada Dalam rahim (ibu Yang mengandung). dan tiada seseorang pun Yang betul mengetahui apa Yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat); dan tiada seorangpun Yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah ia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi amat meliputi pengetahuanNya.”

Kehilangan Yang Dirasa…

InterFaith Dialogue : Tahniah IYC

Bismillah.

Pertamanya penulis ingin merakamkan tahniah dan syabas kepada Intellectual Youth Club (IYC) UIAM di atas kejayaan menganjurkan Interfaith Dialogue malam semalam. Dengan tajuk yang dipilh ” Do All Paths Lead To Paradise?”, sesi dialog berjaya dilkasanakan dengan penuh adil dan saksama, tanpa ada bias diantara pembentang. Syabas juga kepada moderator, Sdr.Anwar Saji yang berjaya mengawal pentas dengan berkesan dan kebat. Bak seperti referee di atas padang bola dengan kad kunig dan merah berserta wisel bila pembentang melebihi had masa yang ditetapka. SYABAS.

” Do All Paths Lead To Paradise? “

Interfaith Dialogue ini mengumpulkan 4 pakar agama yang berlain. Bro.Shah Kirit mewakili Islam, Dr. Guwandasing (Sikh), Mr.Yee (Kristian) dan Dr.Kalika (Hindu) – maaf jika ada tersalah ejaan nama pembentang.

Objektif dialog ini dianjurkan, bukan bertujuan untuk menilai atau menghakim agama mana yang betul atau salah. Tetapi lebih menjurus mencari titik persamaan di antara agama berlandaskan tema yang diberikan. Ia juga bersifat untuk mengenali, mengatahui dan ambil faham tentang agama lain yang wujud di Malaysia supaya keadaan toleransi akan terus berjaya diamalkan antara agama.

Apa yang menarik dari setiap pembentang, kenyataan mereka bahawa semua agama hanya percaya pada Tuhan yang satu. Menurut Mr.Yee, dalam bible tiada ajaran yang mengatakan tuhan itu trinity, jauh sekali mengatakan Jesus itu father atau son of father. Satu kenyataan yang bercanggah dari apa yang kita- muslim tahu tentang kristian. Tambah beliau lagi, “Christian culture is not what Bible ask to do so”. Bagi Dr.Guwandasing, setiap agama adalah datang dari cahaya yang sama-iaitu Tuhan yang satu. Lebih dari itu, “Islam is Sikhism-Sikhism is Christian-Christian is Hinduism-Hinduism is Islam” – kenyataan yang kontroversi. Menurut beliau lagi, agama Sikh berlandaskan logik akal disamping kitab-kitab Guru Garan Sahib yang mereka pegang. Bagi Hindu-Dr.Kalika berkata ” Religion is like rivers that come from one ocean…”. Walau berbagai aliran agama yang wujud, tapi hakikatnya ia hasil dari satu punca-iaitu satu tuhan. Setiap tindakan manusia yang baik adalah kehendak tuhan dan sebaliknya. Mengumpamakan bahawa tuhan wujud dalam jasad manusia- kontroversi lagi.

Bagaiman Islam? Kupasan dari Bro.Shah amat jelas dan luas. Islam ialah way of life. Cukup sempurna dan menyeluruh. Dalil yang jelas dan tepat. (al-Maidah : 6, ali-Imran 110,104, adz-zariyat : 2, al-Baqarah : 52, al-Ikhlas : 1-4, al-Asr : 1-3)

Berbalik kepada objektif penganjuran, hasil dari dialog tersebut berjaya menyatakan bahawa semua agama terarah kepada kebaikan. Tiada agama yang menyuruh pengikutnya kepada kejahatan atau keburukan. Bahkan jika berlaku keburukan, ia berlandaskan nafsu manusia.

Justeru, berlandskapkan keadaan semasa ketika ini, penulis berharap IPT yang bersifat Islam khususnya akan menganjurkan dialog antara agama ini. Ia bertindak sebagai pencerahan ilmu. Mahasiswa, Pensyarah, Pentadbiran Universiti perlu terkehadapan dalam menghadapi cabaran isu begini. Tiada apa yang perlu ditakutkan atau dibimbangkan jika isu ini dibincang dalam keadaan terbuka. Tetapi, dengan syarat objektifnya perlu jelas dan adil.

Akhir kalam, tahniah sekali lagi buat IYC dan UIAM khususnya. Pada hemat penulis, ketika ini UIAM, IPT pertama yang berjaya melaksanakan dialog antara agama ini.

Besar harapan penulis, sekiranya MPP USIM 09/10 dapat mengubah konsep penganjuran Dakwah Talk 3 dengan berkonsepkan dialog antara agama. Penulis yakin kemampuan MPP USIM yang baru ini..insyaAllah.