RAMADHAN 1439H DAN PEMBEBASAN UMMAT

Pastinya Ramadhan 1439H disambut dengan harapan dan sirna baharu oleh ummat Islam di Malaysia. Jauh sekali untuk mengaitkan artikel ini dengan senario politik semasa pasca PRU14, tetapi amat jelas ‘semangat’ kemenangan masih dapat dirasai sehingga kini.

Ramadhan adalah bulan pembebasan bagi ummat Islam. Pembebasan dari belenggu membuat kerosakan kepada membuat sebanyak-banyak kebaikan. Bahkan, Ramadhan adalah medan pembebasan meng’islah’kan nafs (reformasi diri) ke arah yang lebih baik. Proses pengislahan ini bakal merubah martabat insani kepada karamah insaniah iaitu anjakan nilai kemuliaan diri. Bersesuaian dengan maqasid Ramadhan melahirkan muttaqin seperti di dalam Al-Quran, surah Al-Baqarah ayat 183;

“Wahai orang-orang yang beriman,diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang terdahulu dari kamu, supaya kamu bertaqwa”.

Ramadhan: Bulan Pembebasan Insani

Proses pembebasan yang ditawarkan di dalam bulan Ramadhan wajar dilihat dari aspek yang pelbagai dan komprehensif. Mensudutkan makna ‘pembebasan’ kepada peluang beribadah tanpa halangan atau lain-lain yang hanya meliputi aspek keagamaan, adalah kefahaman  yang tidak tepat dan menyalahi sifat Islam yang syumul dan rahmah.

Sebagai contoh, proses pembebasan yang komprehensif haruslah meliputi pembebasan ekonomi yang lebih adil antara kaya dan miskin, pembebasan dari beban masalah sosial seperti dadah dan jenayah, dan pembebasan dari status-quo yang menghina bangsa dan agama lain, perlu dicaknai dan digembeleng bersama. Dengan mengangkat prinsip keadilan, beramanah dan berintegriti, serta elemen taqwa seperti yang dinyatakan di dalam Al-Quran, adalah anjakan nilai kemuliaan diri atau ‘karamah insaniah’ yang digagaskan oleh Nabi Muhammad (saw) sejak dahulu.

Tema ‘karamah insaniah’ menjadi latar penting semasa baginda melaksanakan tanggungjawab da’wah di Mekah dan Madinah. Ini dapat dilihat dari kisah para sahabat seperti Bilal bin Rabah dan keluarga Ammar bin Yasir. Dua kisah ini membuktikan proses ‘pembebasan insani’ dari belenggu kerosakan, kezaliman dan ketidakadilan kepada kebaikan dan keadilan, meski pelbagai cabaran perlu diharungi. Ia tidak datang secara sendiri, tetapi didasari kepercayaan ketawhidan yang utuh dan kukuh.

Selain itu, perang Badr adalah manifestasi terbaik proses pembebasan ummat Islam selepas hijrah ke kota Madinah. 13 tahun di Mekah adalah period terburuk dialami oleh Nabi Muhammad (saw) dan muslimin Mekah. Mereka ditindas, disiksa, tiada keadilan dan pelbagai lagi bentuk kezaliman diperlakukan ke atas mereka. Kemenangan di dalam perang Badr yang berlaku di dalam bulan Ramadhan, adalah manifestasi pembebasan insani dan seterusnya memebri sirna harapan baharu kepada ummat Islam untuk melaksanakan agenda reformasi diri secara menyeluruh. Tema pembebasan insani dan karamah insaniah wajar dikongsi bersama dengan bangsa yang lain dan dimulai dengan penduduk Madinah yang mempunyai pelbagai latar qabilah ketika itu – Yahudi, Nasrani dan Badwi. Semangat pembebasan insani dan karamah insaniah didasari gagasan mengenali antara satu sama lain dan unjuran ini dirakam di dalam Al-Quran, surah al-Hujurat: 13;

Hai manusia, Sesungguhnya kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa – bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Mengenal.”

Ramadhan 1439H Dan Pembebasan Ummat

Semangat pejuang Badr wajar menjadi inspirasi terpenting dalam menyambut Ramadhan 1439H. Perjuangan melawan nafsu dari melakukan kerosakan dan kezaliman adalah jihad terbesar yang tidak hanya terhad di bulan Ramadhan sahaja, bahkan ia mesti dilakukan secara konsisten selamanya.

Institusi Ramadhan merupakan sebuah institusi yang diperuntukkan khusus oleh Allah untuk melatih, mendidik, menyucikan jiwa dan fizikal umat Islam. Ia umpama sebuah kem, sekolah, universiti atau institusi lain yang menyediakan modul untuk membina kekuatan diri. Dengan pelbagai tawaran  umpamanya malam ’lailatul qadr’ yang hanya ditawarkan kepada umat Nabi Muhammad (saw), ganjaran pahala yang berganda, dan beberapa yang lain, adalah motivasi terhebat untuk ummat Islam dan tidak wajar dipersiakan begitu sahaja. Sekiranya ruh Ramadhan ini dihayati, umat Islam pasti selepas ini akan dapat mengembalikan kegemilangan Islam sepertimana yang dikecapi satu masa dahulu. Inilah ‘pembebasan’ terhebat untuk ummat Islam seluruhnya. Ia lebih bermakna sekiranya pembebasan ini turut dirasai oleh sahabat senegara yang berlainan agama dan bangsa.

Sehubungaan itu, tiga prinsip reformasi berikut perlu diberi perhatian dalam menjayakan agenda pembebasan ummat di dalam bulan Ramadhan.

Pertama, kerangka pemikiran fiqh al-Islah mendasari ijtihad-ijtihad tertentu dalam membentuk sikap yang bersedia dengan perubahan dan pembaharuan. Dalam usaha untuk melawan fasad (kerosakan) yang Allah ingatkan tangan manusia yang bertanggungjawab, maka proses islah sangat signifikan. Kefasadan yang berlaku hanya boleh diberhentikan dengan adanya pemikiran fiqh al-Islah yang terpandu untuk bergerak dalam kerangka yang lebih luas dan holistik. Menunaikan tanggungjawab membantu golongan yang lebih memerlukan, memberi makan kepada fakir, menyantuni orang-orang tua dan anak yatim adalah lebih utama dilakukan berbanding berselisih rakaat dalam solat terawih sepanjang Ramadhan.

Kedua, melahirkan masyarakat berilmu. Arahan membaca menjadi tonggak terpenting dalam penurunan wahyu pertama di dalam surah al-‘Alaq, 1-5. Dengan adanya ilmu yang sahih (benar), seseorang itu tidak sama seperti haiwan. Namun, dengan ilmu yang batil, mampu menjerumuskan manusia ke tahap yang lebih hina dari haiwan. Al-Quran adalah ilmu dan panduan teragung dalam kehidupan seharian muslim dan manusia umumnya. Hanya dengan ilmu yang benar bersumberkan nas-nas yang sahih akan memastikan amalan yang dilakukan diterima Allah. Amalan dan ibadah yang bertentangan dengan amalan Rasulullah dan berunsurkan bidaah dhalalah bukan sahaja tidak diterima oleh Allah bahkan ia boleh menjadi faktor kemurkaan Allah. Ramadhan adalah bulan Al-Quran, dan ia adalah bulan terbaik untuk memantapkan kefahaman kita terhadap tafsiran-tafsiran ayat Al-Quran. Adalah kerugian terbesar sekiranya tempoh 30 hari Ramadhan kali ini tidak dimanfaatkan dengan memahami intisari makna ayat Al-Quran.

Ketiga, membangun civil society yang mencaknai isu-isu rakyat dan sebagai penyemak-imbang kepada kerajaan perlu disemarakkan secara meluas. Ini penting dalam memastikan agenda pembebasan ummat dapat dilaksanakan secara adil dan berhikmah. Civil society yang tidak aktif bakal meruntuhkan institusi sosial secara menyeluruh dan perlahan-lahan. Menurut Josef Boehle, pensyarah di Universiti Birmingham, UK menyatakan gerakan civil society adalah agen terpenting dan amat diperlukan dalam projek pembangunan sesebuah negara membangun. Bahkan, civil society yang berasaskan agama sebagai contohnya harus dilibat sama tanpa prejudis dan sangkaan buruk. Dengan kewujudan civil society yang aktif berpartisipasi dalam pembangunan negara, membuatkan kerajaan akan lebih bertanggungjawab kepada rakyat (ummat) dan mendapat kepercayaan rakyat seluruhnya. Kepercayaan ummat dan rakyat penting kepada dasar-dasar yang bakal dilakukan. Ini adalah pembebasan tertinggi yang dinantikan ummat di mana penglibatan dan penyertaan mereka diiktiraf dan dihormati.

Kesimpulan

Ruh dan intipati Ramadhan yang suci dan membebaskan ummat perlu diberi penghayatan dan diterjemahkan dalam kehidupan seharian ummat Islam di Malaysia khususnya. Semangat menghidupkan Ramadhan perlu dirancakkan seperti mana di zaman Nabi Muhammad (saw) dan sahabat selepasnya. Penterjemahan ruh, intipati dan semangat Ramadhan perlu dipandu untuk mencapai pembebasan dari segala kerosakan kepada kebaikan bertunjangkan ketaqwaan kepada Allah yang Maha Agung. Hanya dengan nasr Allah (bantuan Allah) akan tercapai kemenangan (fath) seperti dinyatakan di dalam surah Al-Fath yang menyorot kemenangan teragung ummat Islam ketika pembukaan kota Mekah.

Sesuai dengan sambutan Ramadhan ini juga marilah kita jadikan bulan ini sebagai titik tolak dan asas pengukuhan Taqwa demi kesejahteraan umat Islam dan pembebasan ummat seluruhnya ke arah kebaikan yang adil dan berhikmah. Hayatilah roh Ramadhan al-Mubarak hanya untuk mendapat keredhaan Allah dan hidupkanlah semarak semangat penghayatan Ramadhan diikuti dengan tiga prinsip – fiqh al-Islah, masyarakat berilmu dan civil society – serta jadikan taqwa sebagai dasar pembebasan ummat ke arah kecemerlangan dunia dan akhirat.

Dengan pembebasan ummat ini seterusnya mencetus inspirasi mencipta Naratif Baharu Malaysia.

Ramadhan Mubarak!

Rujukan

Ahmad al-Raisuni. (2016). Kebebasan dan Pembebasan. Mohd Khairul Anwar Ismail, Trans. Shah Alam: IDE Research Center Sdn. Bhd.

Ibnu ‘Ashur, Muhammad al-Tahir.(1984). Tafsir al-Tahrir wa al-Tanwir. Tunis: al-Dar Tunisiyyah.

Imam Izz al-Din ibn Abd al-Salam al-Sulami al-Shafi’i. (2016). Maqasid Puasa Hikmah dan Tujuan Pensyariatannya. Marwan Bukhari A Hamid, Trans. Shah Alam: IDE Research Center Sdn. Bhd.

Boehle, J. (2010). Religious NGOs at the UN and the millennium development goals: An introduction. Global Change, Peace & Security22(3), 275-296.

Muhammad Faisal Abdul Aziz. (2018). Mencerahkan Maqasid Yang Digelapkan. Kuala Lumpur: Angkatan Belia Islam Malaysia.

Wahbah al-Zuhaili. (1991). Tafsir al-Munir. Mesir: Dar al-Fikr.

Zulkifli Hasan. (2015). Welcoming Ramadhan 1436H. http://www.zulkiflihasan.com/2015/06/16/welcoming-ramadhan-1436h/

Advertisements

MALAYSIA YANG BERJIWA BESAR

Tanggal 9 Mei 2018, bakal menjadi hari sejarah besar buat seluruh rakyat Malaysia. Ia bakal menentukan bagaimana halatuju Malaysia untuk lima tahun mendatang. Walaubagaimanapun, ia tertaktluk kepada gabungan atau parti mana pilihan rakyat Malaysia yang dirasakan layak untuk menerajui kepimpinan negara. Dalam tempoh kurang dari 24 jam artikel ini diterbitkan, pilihan yang ada ialah; memilih mengekalkan kerajaan sementara sedia ada (Barisan Nasional), atau kerajaan campuran hasil kerjasama di mana PAS (Gagasan Sejahtera) sebagai pilihan gabungan, atau kerajaan baharu (Pakatan Harapan).

Berdasarkan populasi kependudukan rakyat Malaysia, membuktikan naratif politik dan pilihanraya umum di Malaysia bahawa ‘gabungan’ parti politik yang pelbagai kaum, agama dan etnik adalah adunan terbaik untuk menerajui kepimpinan negara. Ini diperakui oleh setiap parti politik yang bertanding di dalam PRU14, di mana calon yang ditaruhkan dari pelbagai bangsa dan agama. Hatta, sekiranya kemenangan berpihak kepada mana-mana blok gabungan (BN, GS atau PH) tetapi tidak boleh membentuk kerajaan, maka ‘gabungan’ baharu dengan persetujuan baharu adalah pilihan terakhir. Walaubagaimanapun, perlu diingat, kesejahteraan rakyat Malaysia terbanyak adalah pertimbangan terpenting dalam membentuk ‘gabungan’ kerajaan baharu berbanding objektif parti yang terpisah dan tiada persamaan antara mereka.

PRU14 YANG MENGEJUTKAN

Perdana Menteri sementara, DS Mohd Najib Tun Razak telah mengingatkan bahawa PRU14 adalah ‘ibu’ segala pilihanraya. Kejutan seperti pertukaran kepimpinan kerajaan pusat atau negeri boleh berlaku sekiranya tempoh berkempen diambil mudah. Pertukaran kerajaan di peringkat pusat ataupun negeri adalah ‘kejutan’ terbesar untuk semua parti yang bertanding. Namun, sebelum itu, apa yang lebih mengejutkan ialah insiden-insiden yang tidak diduga sepanjang tempoh berkempen PRU14 yang memasuki minit-minit akhir.

Antaranya dipihak PH yang mendapat sokongan penuh dari bekas pimpinan UMNO seperti Tun Daim Zainuddin, Tan Sri Rafidah Aziz, Tan Sri Dr Rais Yatim, dan terkini Tan Sri Syed Hamid Albar melalui akaun twitternya yang seolah-olah memberi gambaran menyokong agenda PH. Kehadiran tokoh-tokoh besar ini di dalam kempen PH dan ceramah umum sebagai contohnya berjaya menarik ribuan rakyat Malaysia untuk keluar dan mendengar ucapan mereka. Ini boleh dilihat melalui laporan media masa yang merekodkan kehadiran puluhan ribu di Putrajaya, Hulu Kelang, Melaka dan lain-lain. Ini antara kejutan yang tidak disangkakan kerana kali terakhir ceramah umum dengan kehadiran mencecah ribuan orang adalah pada PRU13. Ketika itu kempen PRU13 diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Pakatan Rakyat (PR).

Selain itu, saranan untuk ‘berani’ memilih tanpa perlu rasa takut dari Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kepada semua anggotanya, antara kejutan yang tidak disangkakan. Bahkan ia memberi gambaran seolah-olah pimpinan agensi kerajaan seperti TLDM tidak ‘bersama’ dengan pimpinan kerajaan sementara BN. Bagi sebahagian yang lain melihat ia seperti memihak kepada pihak penentang BN, iaitu GS dan PH. Kenyataan Panglima TLDM dibuat selepas calon Perdana Menteri PH, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengeluarkan kenyataan rasmi menyeru pengundi pos supaya berani memilih tanpa rasa takut. Ini adalah kerana, ramai beranggapan bahawa undi bukan rahsia dan boleh diketahui siapa yang dipilih, terutama pilihan pengundi pos. Pihak berkuasa seperti PDRM, TLDM, TUDM, wartawan dan warganegara di luar negara adalah antara yang dikategorikan sebagai pengundi pos awal.

Di pihak GS, penyertaan Ustaz Nik Omar Nik Abdul Aziz, anak bekas Mursyidul Am PAS dan Menteri Besar Kelantan ke dalam Amanah dan bertanding di Dun Chempaka adalah kejutan terbesar dalam PRU14. Kejutan ini bukan sahaja dirasai oleh ahli PAS dan GS, bahkan seluruh rakyat Malaysia termasuk Cina, India dan kaum-kaum lain di Sabah dan Sarawak. Respon di media sosial dan masyarakat umum menyebut bahawa Ustaz Nik Omar membayangi sahsiah almarhum TGNA yang lembut, berhikmah dan bersahaja dalam ucapan dan peribadinya, terutama aspek penterjemahan prinsip Islam sebagai cara hidup yang penuh rahmah.

Menjelang minit-minit akhir sebelum jam 12 tengah malam 8 Mei 2018, sedarilah pelbagai kejutan lain boleh berlaku. Namun, ‘ibu’ segala kejutan pastilah menjelang 10 Mei 2018 di mana Malaysia bakal memperoleh kepimpinan baharu yang mungkin BN, atau kerajaan campuran GS atau PH.

MALAYSIA DAN JIWA BESAR

PRU adalah medan memilih sesebuah kerajaan baharu yang dipercayai layak untuk menjalankan fungsi-fungsi pentadbiran negara degan efisien, berintegriti dan cekap. Rayat bertanggungjawab dan dipertanggungjawabkan dalam setiap pilihan yang dibuat. Namun, ia tidak bermakna kerajaan pasca-PRU boleh menghukum rakyat yang tidak memilih mereka.

Sehubungan itu, partisipasi masyarakat umum dalam politik melalui pilihanraya perlu diiktiraf. Rakyat adalah ‘pelanggan’ yang berhak mendapat layanan terbaik dari kerajaan yang dipilih selepas pilihanraya tamat. Mereka memberi undi kepada parti politik atau pakatan politik yang dipercayai mampu menggalas tanggungjawab dan menjalankan fungsi-fungsi kenegaraan dengan baik dan sempurna untuk tempoh lima tahun mendatang. Berbekalkan semangat dan jiwa besar, dengan penuh harapan mereka memilih kerajaan yang mempu membawa kemajuan, pembangunan dan kestabilan dalam semua aspek keagamaan, ekonomi, sosial, bermasyarakat, keselamatan dan lain-lain. Tiada agenda selain dari ingin melihat kemakmuran Malaysia untuk semua tanpa mengira latar belakang kaum, agama dan etnik.

Winton Churchill mengingatkan bahawa ‘politics is not a game, but a serious business’. Tersalah percaturan, semua pihak terbeban. Sehubungan itu, membuat pilihan di dalam pilihanraya perlu didatangkan bersama ‘jiwa besar’ yang menginginkan kesejahteraan yang lebih baik dan komprehensif untuk semua. Kepentingan memilih kerajaan baharu yang mampu memikul dan melaksana tanggungjawab terhadap rakyat keseluruhannya adalah perkara utama yang perlu diberi perhatian. Ini adalah kerana kerajaan yang dipilih berupaya untuk memberi segala yang rakyat perlukan, dan dalam masa yang sama juga berupaya untuk mengambil semula dari rakyat tanpa perlukan persetujuan. Kennyataan ini selari dengan peringatan dari Thomas Jefferson (1743-1826), penulis utama deklarasi kemerdekaan Amerika Syarikat, ‘a government big enough to give you everything you want, is strong enough to take everything you have’.

Atas faktor itu, dalam memilih kerajaan sempena PRU14, rakyat Malaysia perlu berjiwa besar dalam menunaikan tanggungjawab mereka. Setiap pilihan pasti ada risiko dan kelebihan tersendiri. Namun, yang lebih utama adalah keperluan melihat masa hadapan yang lebih baik untuk generasi mendatang, dengan kepimpinan kerajaan yang boleh menjanjikan ketelusan, kestabilan dan kecekapan mengurus dan mentadbir. Kesemua ini hanya boleh dibuat berpandukan pilihan yang didasari dengan ‘jiwa besar’ yang merdeka dan bebas.

‘Jiwa besar’ inilah menjadi batu asas kepada kepimpinan Nabi Muhammad (saw) ketika pembukaan kota Mekah. Dalam keadaan keseluruhan delegasi muslimin Madinah bersedia untuk merempuh kota Mekah walaupun tanpa senjata, namun kesediaan Nabi Muhammad (saw) untuk bersetuju dengan syarat-syarat musyrikin Mekah telah memberi kemenangan yang besar kepada Islam khususnya dan muslimin amnya sehingga hari ini. Tanpa ‘jiwa besar’ Nabi Muhammad (saw) yang ingin melihat perdamaian dan persefahaman dalam membuat keputusuan politik yang sangat penting ketika itu, pastilah naratif pembukaan kota Mekah akan berlainan pada hari ini.

Berdasarkan pengamatan ringkas, kesediaan Datuk Seri Anwar Ibrahim memaafkan Tun Dr Mahathir Mohamad atas tragedi yang berlaku pada 20 tahun yang lalu, dan menerima pencalonan beliau sebagai calon Perdana Menteri ketujuh, jelas menunjukkan ‘jiwa besar’ DSAI. Beliau lebih mementingkan pemulihan negara, berbanding konflik peribadi terhadap TDM. Inilah kejutan terbesar dalam PRU14. Contoh DSAI yang berjiwa besar ini wajar disambut oleh seluruh rakyat Malaysia dan dibuktikan melalui peti undi.  Dengan merujuk kepada teori ‘alternative future’, ber‘jiwa besar’ adalah faktor utama dalam mengukur tahap keseriusan kita untuk melihat Malaysia yang lebih baik. Diakui bahawa setiap perubahan datang bersama risiko, namun kita perlu berani dan bersedia mengambil risiko untuk memperoleh hasil yang terbaik seperti yang diimpikan ramai. Lebih dari itu, mempelajari dari kesilapan bukanlah perkara keji dan hina, sebaliknya ia adalah sunnah kehidupan yang menuntut setiap manusia untuk bangkit dan menjadi lebih baik.

TUNAIKAN HAK ANDA!

Ayuh rakyat Malaysia, tunaikan hak anda sebagai pengundi dengan mengundi! Barang diingat, siapa pun pilihan kita, ia adalah untuk Malaysia yang lebih baik! Ia untuk kesejahteraan semua agama, kaum dan bangsa! Jika prinsip asas ini dilanggari oleh kepimpinan kerajaan baharu, ketahuilah mereka tidak layak dijadikan pemimpin negara.

Segala kejutan yang berlaku sepanjang tempoh kempen PRU14 adalah berfaktorkan ‘jiwa besar’ yang dipunyai oleh setiap calon yang bertanding. Mereka berjanji untuk membawa perubahan yang lebih baik untuk kita semua dan Malaysia khususnya.

Tinggal lagi, kita (rakyat Malaysia) yang ber‘jiwa besar’ wajar menunjukkan kepada mereka (parti / pakatan politik) melalui peti undi pada 9 Mei 2018 bahawa kuasa memilih berada ditangan kita. Sesungguhnya, kita (rakyat Malaysia) benar-benar mahukan perubahan yang lebih baik di samping keharmonian antara kaum dan agama kekal dipelihara.

Sebagai khalifah (Al-Baqarah: 30) yang diamanahkan mentadbir bumi dan manusia dengan baik dan adil (Al-Baqarah: 58), dan berupaya juga membuat kerosakan (Al-Rum: 41), di mana hubungan persefahaman antara manusia perlu dipelihara (Al-Hujurat: 13), tanpa merendahkan martabat atau agama lain (Al-An’am: 108), perlu diangkat sebagai tema ‘jiwa besar’ sesebuah masyarakat yang bertamadun dan beragama. Justeru, sekiranya ada pihak yang gagal dalam memahami unjuran Al-Quran ini, ketahuilah mereka berjiwa ‘kecil’, tidak seperti pemuda Kahfi yang diperteguhkan hati mereka dengan kesabaran dan keberanian (Al-Kahfi: 14).

‘Jiwa besar’ mesti berani untuk mencipta masa depan yang baru. Seperti ungkapan Abraham Lincoln, ‘the best way to predict the future is to create it’.

Ayuh, bangkit rakyat MALAYSIA!

 

Mohd Faridh Hafez Mhd Omar

Calon PhD di universiti tempatan