RAMADHAN 1437H DAN REFLEKSI HIKMAH

 

Tanpa sedar, ketika artikel ini ditulis, sudah 29 hari Ramadhan kita lalui. Begitu pantas masa berputar. Pastinya Ramadhan tidak meninggalkan kita, tetapi kita yang meninggalkan Ramadhan. Atau mungkin sebahagian dari kita sudah pun melupakannya.

Di Malaysia pelbagai istilah institusi cuba disandarkan pada bulan Ramadhan yang mulia ini. Antaranya seperti Sekolah Ramadhan, Madrasah Ramadhan atau Universiti Ramadhan. Ketiga-tiga konotasi ini menjurus kepada satu objektif yang disepakati oleh semua iaitu ia sebagai medan tarbiyah, mendidik dan muhasabah. Ramadhan bulan mendidik, tarbiyah dan muhasabah nafsu manusia Ia bukan hanya kepada kanak-kanak sahaja, tetapi ia melangkaui jangkauan umur termasuk dewasa dan warga emas. Nafsu tidak mengenal usia dan siapa.

Sebab itu, seperti yang disebut oleh Imam ‘Izz Al-Din Ibn Abd. Salam di dalam kitabnya “Maqasid Al-Sawm”, pada fasal pertama, TAQWA merupakan objektif (maqasid) utama yang wajib dicapai dan diraih oleh setiap muslim. Allah berfirman di dalam surah Al-Baqarah: 183:

Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.

Ertinya:- berpuasa di bulan Ramadhan dapat melahirkan insan yang bertaqwa dan seterusnya mencegah dirinya dari menjadi bahan bakar api neraka. TAQWA menurut Saidina Ali ialah hadirnya perasaan gentar dan takut kepada Allah swt dengan patuh dan taat kepada segala suruhannya dan meninggalkan segala larangannya.

Sekiranya setiap kita berjaya bergraduasi dari Universiti Ramadhan ini dengan pangkat  kelas pertama TAQWA, hasil dari proses didikan, tarbiyah dan muhasabah nafsu selama 30 hari, pastilah output akhlaq, ibadah dan aqidah terpelihara dan tetap istiqamah di atas jalan kebenaran. Selanjutnya, Muslim yang bersifat “karamah insaniah” berjaya dilahirkan dan layak memikul tugas khalifah – pentadbir urus hal ehwal dunia tanpa merosakkannya.

 

Puasa dan  Muslim Malaysia

Melihat ke belakang, sebagai contoh isu utama yang acapkali dibincangkan oleh Muslim di Malaysia (bulan Ramadhan) ialah bilangan rakaat terawih, niat puasa harian atau sebulan, zakat fitrah melalui ‘amil atau terus kepada sasaran dan pelbagai lagi. Bahkan, kadang-kadang ia membawa kepada perbincangan yang bercakaran sesama sendiri. Lebih teruk lagi saling menuduh dengan kata-kata yang kesat dan keji. Tidak hanya tuduhan tadi dilontarkan di dalam ceramah-ceramah agama di rumah Allah (masjid), bersambung lagi di medan terbuka seperti Facebook, Whatsapp, Instagram dan bermacam lagi. Hilang sudah ruh Ramadhan yang membawa rahmat dan berkat dalam diri setiap dari kita.

Yang ada hanya marah-marah.

Namun, untuk Ramadhan 1437H kali ini, isu baru berjaya dimanipulasikan oleh setengah pihak dari kita. Ia berkaitan isu wanita yang uzur. Kata mereka, golongan ini wajarlah diberi ruang untuk menjamu selera secara terbuka. Situasi makan sorok-sorok, makan di bawah meja, makan di dalam kereta atau tahan lapar demi orang yang berpuasa sudah tidak boleh diterima lagi. Ia adalah penindasan. Menafikan hak yang telah diberikan kelonggaran (rukhsah) oleh Tuhan adalah sesuatu yang tertolak.

Itulah manusia, hanya berbicara tentang hak sendiri. Lupa untuk menggunakan akal dan fikiran memahami akan hak yang dicipta oleh AL-HAQ. Apakah hak Allah? Apakah hak Ramadhan?

Sudah jelas bahawa TAQWA itu adalah hak Allah yang wajib dicapai bagi semua Muslim. Puasa di bulan Ramadhan merupakan jalan terbaik yang telah disediakan khusus oleh Allah untuk kita mencapai status TAQWA tersebut. Tiada alasan untuk tidak mencapainya kerana ia merupakan janji Allah. Kamu puasa, maka kamu akan tergolong sebagai muttaqin di akhirnya.

Seperti yang disebut awal tadi, Ramadhan adalah bulan mendidik, tarbiyah dan muhasabah nafsu. Makan itu dorongan nafsu. Orang yang tiada nafsu makan, dia akan berpuasa atau menahan diri dari makan sesuatu.

Melihat kepada objektif Ramadhan – TAQWA – satu persoalan; dimanakah perginya sifat TAQWA dalam diri kamu yang menyebabkan kamu gagal mengawal nafsu makan kamu? Ini bukan tahun pertama kamu berpuasa, dan kamu bukan anak kecil. Kamu berakal dan mumayyiz, mampu berfikir dan buat pilihan baik dan buruk. Mampu beradab dan menghormati yang lain. Bukan mementingkan diri sendiri.

Buat pilihan, hak kamu atau hak Allah yang lebih utama?

Sabda Nabi Muhammad saw: “Sekiranya manusia benar-benar menyedari kebaikan-kebaikan yang ada di bulan Ramadhan ini, pastinya mereka akan mengharapkan supaya sepanjang tahun adalah Ramadhan

Menghormati dan beradab kepada orang yang berpuasa merupakan objektif Ramadhan hasil dari tarbiyah dan muhasabah.

Jikan masih ingin sanggah, esok-esok “bersamalah” dengan isteri atau suami anda di tengah-tengah taman atau jalan. Bukankah Allah sudah halalkan antara kamu selepas nikah. Hak kamu juga bukan?

 

Puasa dan Dunia

Ramadhan adalah bulan mulia buat Muslim seantero dunia. Ia tidak khusus kepada mana-mana negara dan bangsa. Kamu Muslim, maka wajib ke atas kamu berpuasa dan mencapai status TAQWA. Maka sepatutnya Ramadhan dirai dengan rahmah dan tamah. Bukan pergaduhan dan marah.

Ramadhan dicemari dengan hak manusia yang salah.

Turki sekali lagi digegarkan dengan serangan bom di tempat awam pada 29 Jun lalu. Lapangan Terbang Ataturk menjadi sasaran kali ini. Dianggarkan 23 orang awam didapati terbunuh. IS dan Al-Qaeda dikatakan pihak yang dikaitkan mendalangi serangan bom kali ini. Ini adalah kali ke-5 atau ke-6 Turki diserang sepanjang 2016.

Begitu juga di Dhaka, Bangladesh dimana sebuah restoran dibom dan telah membunuh 20 orang awam. Menurut laporan Telegraph, IS mengakui bertanggungjawab terhadap serangan tersebut.

Sebuah pusat beli belah di Baghdad, Iraq juga diserang dengan letupan bom pada 2 Julai lepas. Dianggarkan 125 orang awam terbunuh dalam kejadian tersebut. IS sekali lagi menyatakan bertanggungjawab ke atas serangan tersebut.

Samada IS atau Al-Qaeda, kedua-duanya mengakui Muslim, memperjuang kebenaran Islam. Katanya ia adalah hak dan tanggungjawab mereka memusnahkan toghut.

Lupakah mereka akan hak Allah yang suka kepada keamanan? Lupakah mereka akan hak Allah sebagai Al-Hakim kepada tindakan mereka yang membunuh orang awam?

Pada penilaian ramai ilmuan, Prof. Dr. Tariq Ramadhan, Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi, Syeikh Bin Bayyah, mereka bersepakat bahawa IS dan Al-Qaeda adalah pelampau agama Islam. Mereka ini wajar ditolak dan tidak boleh berkerjasama dengan mereka.

Pembunuhan di dalam bulan Ramadhan tidak sepatutnya berlaku. Ramadhan bulan yang dipenuhi dengan rahmat dan keberkatan. Sewajarnya persaudaraan, berkasih sayang dan ,menghormati disebarluaskan.

Allah menyatakan di dalam surah Al-Maidah:32

Barangsiapa yang membunuh seorang manusia, bukan kerana orang itu (membunuh) orang lain atau bukan kerana membuat kerosakan di muka bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya. Dan barangsiapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya. Dan sesungguhnya telah datang kepada meraka Rasul-rasul Kami dengan membawa keterangan-keterangan yang jelas, kemudian banyak diantara mereka sesudah itu bersungguh-sungguh melampaui batas dalam berbuat kerosakan di muka bumi.

 

Jelas, tiada seorang Nabi pun yang membawa mesej kerosakan dan pembunuhan tanpa sebab ketika mereka diutus oleh Allah kepada setiap ummat mereka. Bahkan mesej keselamatan, keamanan dan keadilan yang diperjuangkan oleh Nabi-nabi terdahulu berpaksi Tauhid mengEsakan Allah yang satu, tidak kepada makhluk selainnnya.

 

Puasa dan Refleksi Hikmah

Ramadhan 1437H sudah hampir melabuh tirainya. Ketika artikel ini ditulis, Ramadhan berbaki satu hari lagi. Boleh ditaakulkan bahawa setiap Muslim yang berpuasa dan yang tidak, sudah bersiap sedia untuk menyambut kedatangan Syawal dengan penuh rasa gembira dan bahagia.

Mengejar malam Al-Qadr dan tadarus Al-Quran mungkin sudah dilupakan.

Berbaju baru atau lama bukanlah ukuran kemenangan menyambut kedatangan Syawal. Nabi Muhammad (saw) menegaskan kemenangan yang benar-benar memaknai seorang Muslim selepas berakhirnya Ramadhan ialah bilamana dia berjaya menterjemahkan TAQWA dalam kehidupan seharian untuk 11 bulan mendatang. TAQWA merupakan sebaik-baik persediaan untuk bertemu Tuhan. Dan dalam masa sama TAQWA tadi dapat dirasai oleh orang-orang sekeliling dengan sifat-sifat rahmah, berkasih sayang dan bersaudara, bukan marah-marah dan berperang.

Ramadhan merupakan sebaik-baik bulan untuk mendidik, tarbiyah dan muhasabah. Nafsu adalah musuh utama kepada Taqwa. Maka wajarlah setiap dari kita memaksimakan usaha mengikat kemahuan nafsu yang boleh menggila di dalam bulan yang mulia ini. Jika dibenarkan nafsu mengganas ketika Ramadhan, apalah lagi yang boleh diharap pada bulan-bulan lain untuk mendidik, tarbiyah dan muhasabah nafsu tadi.

Justeru, setiap kali datangnya Ramadhan, kutiplah seberapa banyak hikmah yang terdapat di dalamnya. Ia boleh hadir dalam pelbagai rupa dan cara. Sebagai insan  yang dikurniakan akal, berfikirlah dan lakukan refleksi. Ia mampu untuk mengubah pandangan alam kita terhadap kehidupan yang sebenar yang sedang menanti kedatangan kita yang tidak pasti bila. Tetapi ia abadi. Itulah sebaik-baik pengakhiran.

 

Salam Ramadhan Kareem

Salam Syawal Eid Al-Fitri

 

Faridh Omar

29 Ramadhan 1437

1230

eid_fitr_1437_h_-_2016_desktop_wallpaper

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s