Assalamualaikum w.b.t
MINGGU PERTAMA DI ABIM
Segala syukur kepada Sang Pencipta Yang Maha Agung..pentadbir alam agung tanpa penafian terhadap-Nya.
21 Desember 2009-mendaftar diri di Kompleks Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) sebagai pelatih praktikum untuk tempoh lima bulan akan datang. Persediaan mental dan fizikal dalam memberi khidmat dan mencari gali ilmu di lapangan sasar ini amat menuntut dan memerlukan fokus yang total. Walaupun sesi praktikum ini sebahagian dari mencukupi jam kredit pembelajaran di USIM, tetapi realitinya ia lebih dari itu. Praktikum merupakan lapangan sasar kepada setiap pelajar untuk menonjolkan diri sebagai persediaan untuk menerobos alam pekerjaan selepas tamat pengajian kelak. Tidak lupa, ia juga menuntut untuk menjadikan tempat praktikal sebagai lubuk mencari ilmu realiti dengan bersandar kepada ilmu teori yang dikhatam setelah tujuh semester terperosok di alam kampus. Sesuai dengan falsafah pendidikan negara yang menuntut untuk setiap pelajar mengaplikasi ilmu naqli dan aqli desawarsa kini.
Suka ingin berkongsi, minggu pertama di ABIM amat menggembirakan. Kerana wujud 7 perkara yang menarik :
1- Tiada skop kerja khusus ditetapkan kepada setiap staf, maksudnya para staf perlu multifunction atau multitasking
2- Budaya sobahunnur diterapkan pada setiap pagi bagi meng-update tugas dan memberi peringatan
3- Budaya solat jemaah zohor dan asar
4- Budaya memasak dan makan bersama
5- Hari rabu sebagai hari riadah
6- Hari jumaat sebagai family morning coffee serta tazkirah ringkas
7- Sabtu dan Ahad perlu siap siaga dengan tugas tiba-tiba
Justeru, 7 budaya yang diterapkan ini amat mencabar kepada setiap warga kerja ABIM. Tiada istilah rehat yang diterapkan, tetapi sebaliknya istilah berkerja ikhlas yang sering diwar-warkan. Cabaran seperti ini yang saya rasa beruntung apabila bersama-sama dalam gerak kerja NGO, lebih-lebih lagi NGO yang berwatakan Islamis. Terasa luas dan indah apabila bergerak bersama-sama reformis atau golongan tajdid dalam gerakan Islam ini. Moga saya mendapat pelbagai manfaat sepanjang ditugaskan di ABIM ini nanti.
SEDETIK DENGAN ULAMA…
24 Desember 2009-Tanpa disangka hari yang indah menjanjikan detik sejarah dalam hidup insan kerdil ini. Tidak diduga niat ingin mnghadiri kuliah Dr.Wahbah Zuhaili di Masjid Shah Alam dikekang dengan masalah jarak perjalanan yang jauh…Allah menggantikan dengan pertemuan secara personel bersama ulama tersohor ini. Pertemuan berlaku di Bilik 1391, Blue Wave Hotel Shah Alam. Begitu hebat perancangan Yang Maha Esa.
Pelbagai isu yang dibincangkan dalam pertemuan tersebut. Namun apa yang ingin saya kongsi bersama adalah nasihat ikhlas dari Dr.Wahbah Zuhaili :
“Belajarlah agama Islam bersungguh-sungguh dan alimlah dalam ilmu tersebut. Jangan biar diri dikuasai riak dan takbur, sebaliknya ikhlas dan jujur dalam menuntut ilmu. Berlapang dada dalam khilaf atau perbezaan, jaga silah hubungan muslim di Malaysia. Kekalkan aman dan tenang di Malaysia.”
Pertemuan singkat tersebut dihadiri bersama Dr.Rumaizuddin (Pensyarah FKP-USIM), Sdr. Mohd Raimi (S/U Agung ABIM) dan Ust.Anam (Mudir Madrasah di Damansara)